Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang telah mengadakan Sambutan Hari Guru pada hari Rabu,24 April 2019. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan diikuti bacaaan doa serta ikrar guru yang dipimpin oleh Tuan Hj Ridzuan bin Mohamed. Ucapan murid diwakili oleh Muhammad Fawwaz yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua guru atas segala tunjuk ajar dan ilmu yang diberikan.

Tuan Guru Besar, Encik Mohamad Ali bin Alimin dalam ucapannya mengulas mengenai pengorbanan guru- guru mendidik anak-anak bangsa. Bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini, “Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi” , beliau menegaskan murid-murid agar sentiasa menghormati dan menghargai jasa guru. Penyampaian hadiah bagi kategori khas guru seperti guru penyayang, guru paling tegas dan beberapa kategori lain. Pemenang dipilih melalui undian murid-murid.

Majlis dimeriahkan dengan sukaneka yang melibatkan semua guru. Mereka dibahagikan mengikut rumah sukan masing-masing. Para pentadbir dilantik menjadi ketua rumah. Antara sukaneka yang dipertandingkan ialah sepak bola ke gawang gol bagi kategori wanita, jaring bola ke keranjang bola jaring, isi air ke dalam botol dan baling belon berisi air. Murid-murid terhibur menyaksikan gelagat dan aksi guru-guru dalam setiap acara.

Sambutan Hari Guru diteruskan dengan jamuan makan tengah hari. Turut diraikan adalah guru dan staf yang berpindah iaitu Puan Amimah binti Abd Hamid dan Puan Noraini binti Aziz. Majlis diserikan dengan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada yang diraikan serta pemenang pertandingan anjuran Kelab Guru dan Kakitangan (KGKT). Antaranya ialah pertandingan tulisan berangkai, tulisan jawi dan mewarna.Pertukaran hadiah antara guru dan cabutan nombor bertuah turut mewarnai Sambutan Hari Guru pada kali ini.

Pin It on Pinterest

Share This