Bercerita telah menjadi tradisi budaya manusia sejak zaman-berzaman untuk memberi pengajaran, pengetahuan, hiburan dan berkongsi pengalaman. Dalam masyarakat Melayu, tokoh-tokoh seperti Tok Tubang, Awang Batil, Awang Belanga dan Tok Selampit merupakan penglipur lara yang terkenal dalam tradisi bercerita. Kehebatan mereka banyak bergantung kepada cara persembahan yang mampu mempengaruhi malah memukau audiens.

Aktiviti bercerita dalam pengajaran bahasa merupakan pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa murid iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Seterusnya, kemahiran kefahaman dan pelaporan turut dicapai melalui aktiviti membaca dan bercerita ini. Aktiviti bacaan ini perlu dibudayakan kepada murid-murid kerana banyak manfaatnya. Oleh yang demikian, bagi mengasah bakat dan kebolehan murid, Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang telah dilantik menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Bercerita Peringkat Daerah bagi tahun 2020.

Buat julung kalinya, pertandingan ini telah diadakan secara dalam talian bersesuaian situasi negara yang berhadapan dengan Pandemik Covid -19. Para peserta yang mengambil bahagian telah menghantar rakaman video bercerita kepada pihak penganjur dan dinilai oleh hakim yang dilantik pada 8 Julai 2020 di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat.

Sebanyak 15 buah sekolah telah menghantar penyertaan bagi tahap 1 manakala 18 buah sekolah pula telah menghantar penyertaan bagi tahap 2.

Dalam pertandingan tersebut, Siti Nurdamia Safiya binti Mohd Fakhzan dari SK Bukit Changgang telah menjadi Johan bagi tahap 1 ,Nursuria Zahra dari SK Olak Lempit di tempat kedua dan Nurfathiyyah binti Ahmad Taufik di tempat ketiga manakala bagi kategori tahap 2 pula peserta dari SK Jalan Tanjung iaitu Nur Syamimi Irdina binti Muhammad Khairul telah menjadi Johan.Tempat kedua Muhammad Baihaqi bin Zul Kamal dari SK Labohan Dagang dan Nurul Hannan binti Mohd Sani yang juga peserta dari SK Bukit Changgang telah mendapat tempat ketiga .

Kedua-dua peserta dari SK Bukit Changgang bersama-sama empat orang lagi peserta yang telah mendapat tempat akan mewakili daerah Kuala Langat ke Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri. Didoakan semoga beroleh kemenangan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan ini telah diwakili oleh jurulatih sekolah masing-masing pada 13 Julai 2020 di Dewan Delima PPD Kuala Langat dan disampaikan oleh Tn. Hj. Zulkifli bin Mohamed iaitu Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Langat, Sektor Pembangunan Murid.

Pin It on Pinterest

Share This