Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk semua negeri di Malaysia. Bagi tempoh 18 hingga 31 Mac 2020. Memandangkan bilangan kes tidak menunjukkan penurunan, maka PKP Fasa 2 telah disambung sehingga 14 April 2020. Seterusnya PKP Fasa 3 (15 – 28 April 2020) dan PKP Fasa 4 (29 April – 12 Mei 2020).
Impak daripada pandemik COVID-19 bukan sahaja tertumpu kepada ekonomi negara malahan ia juga memberi kesan aspek sosial penduduk.Penduduk akan mengalami perubahan gaya hidup harian berbanding kehidupan sebelumnya seperti pekerjaan yang boleh menjejaskan pendapatan dan perbelanjaan, pendidikan, kesihatan, kebajikan, aktiviti keagamaan dan hubungan sosial.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Changgang telah berani tampil mengambil inisiatif membantu dan memberi bantuan kepada keluarga-keluarga yang terjejas impak dari pelaksanaan PKP. Menurut Yang DiPertua PIBG, Datuk Ngadenin bin Musa, seramai 30 buah keluarga telah diberi sumbangan bekalan makanan asas seperti beras, gula, garam, minyak masak dan sebagainya. Sumbangan ini telah diserahkan pada 30 Mac 2020 oleh guru dan ahli jawatankuasa PIBG. Ini dapat mengurangkan tekanan isi rumah dalam menghadapi PKP ini.

Guru Besar SK Bukit Changgang, Encik Mohamad Ali bin Alimin merakamkan penghargaan dan terima kasih buat PIBG yang tampil memberi bantuan. Semoga usaha murni ini dapat memberi manfaat seterusnya menjaga kebajikan murid-murid SK Bukit Changgang.

Pin It on Pinterest

Share This