SEK KEB SIJANGKANG JAYA, Banting- 29 September 2020 (Selasa), “Sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya.”Itulah yang disematkan di dalam hati pemain-pemain bola tampar kategori perempuan bawah 10 tahun yang dianggotai seramai 6 orang pemain yang terdiri daripada adik Nur Sofea Adriana binti Mohd Suhaimi, adik Hani Naurah binti Mohd Nakhoie, adik Nur Farhah Ilyana binti Yahya, adik Siti Nur Damia Safiya binti Mohd Fakhzan, adik Nur Hannan Amalin binti Zaizul dan adik Bussaina Hurin binti Mohd Kurniawan.

Pertandingan bola tampar ini berlangsung di Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya yang bermula pada jam 8.30 pagi turut disertai oleh 3 buah sekolah yang lain iaitu Sekolah Kebangsaan Jenjarom, Sekolah Kebangsaan Kebun Bharu dan Sekolah Kebangsaan Morib.

Pertandingan kali ini tidak banyak disertai oleh sekolah yang lain kemungkinan disebabkan oleh kekangan masa dan latihan yang tidak mencukupi kerana sesi persekolahan baru bermula dari tarikh perlawanan disebabkan Pandemik Covid-19 yang menular ke seluruh dunia baru-baru ini.

Menurut jurulatih pasukan bola tampar Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Encik Mohd Nakhoie bin Ahmad Badawi, “Latihan yang dilakukan tidak mencukupi kerana persekolahan baru dibuka semula setelah beberapa bulan cuti disebabkan pandemik Covid-19 tetapi kami tetap akan berusaha untuk menjadi juara memandangkan murid-murid yang terlibat pernah menjalani latihan bola tampar sebelum pandemik bermula dan ada wakil yang pernah menyertai perlawanan ini pada tahun lepas dan awal tahun 2020.”

Pada pusingan pertama, Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang bertemu Sekolah Kebangsaan Kebun Bharu dan kemenangan berpihak kepada Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang iaitu 15-10 dan 15-12.
Permainan diteruskan lagi di gelanggang B antara Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang bertemu Sekolah Kebangsaan Morib dan sekali lagi Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang memperoleh kemenangan iaitu sebanyak 15-13 dan 15-12 dan sekaligus melayakkan Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang mara ke pusingan akhir.

Di peringkat akhir, Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang bertemu sekali lagi dengan Sekolah Kebangsaan Morib. Perlawanan agak sengit dengan bermain sebanyak 3 set, namun dengan semangat yang tidak berputus asa dalam kalangan pemain, Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang telah mendapat kemenangan akhirnya dengan mendapat mata 15-14, 13-15 dan 8-5. Manakala, Sekolah Kebangsaan Jenjarom dan Sekolah Kebangsaan Kebun Bharu mendapat tempat ketiga bersama.

Tahniah diucapkan kepada semua pemain pasukan Bola Tampar SKBC.

Laporan disediakan oleh : Cik Roslizawati binti Mahaji

Pin It on Pinterest

Share This