Hari Anugerah Gemilang Kokurikulum tetap dilaksanakan meskipun beberapa kali dianjakkan tarikh atas sebab kebimbangan berlakunya peningkatan kes Covid dalam kalangan murid SKBC dan kalangan warga sekolah. Maka pihak pentadbir memutuskan untuk mengadakan majlis pada masa yang sesuai agar keselamatan dan kesihatan murid-murid serta warga sekolah terjamin. Hari Anugerah Gemilang Kokurikulum ini telah dilaksanakan untuk memberi pengiktirafan kepada individu mahupun pasukan yang telah berhempas pulas menjayakan aktiviti kokurikulum dan sukan hingga ke peringkat tertinggi.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada penggiat kokurikulum dan sukan menerima ganjaran yang setimpal dengan usaha, titik peluh, masa, idea serta banyak lagi yang telah mereka korbankan demi menjayakan visi dan misi SK Bukit Changgang untuk menjadikan kokurikulum dan sukan sebagai salah satu asas menggapai hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Majlis ini juga merupakan satu program yang khas bagi mengukur dan menilai tahap pencapaian serta penglibatan semua pihak yang bermula dari murid-murid sehinggalah ke pengurusan tertinggi di peringkat sekolah. Selain itu juga, menggalakkan lebih ramai murid, pegawai serta pengurus kokurikulum dan sukan di semua peringkat agar terus aktif dan meraih lebih banyak kejayaan.

Penyampaian anugerah kepada murid dan jurulatih /pegawai yang terlibat dibuat secara berasingan pada hari, masa dan tempat yang berlainan. Penyampaian pertama diadakan pada 25 Februari 2022 (Jumaat) bertempat di Dewan Gemilang. Majlis ini diraikan untuk pelajar yang terpilih dan dinobatkan sebagai tokoh. Ada beberapa kategori Tokoh iaitu Tokoh Akademik, Tokoh Kokurikulum, Tokoh Sukan dan Permainan serta Tokoh Nilam.
Manakala untuk murid lain anugerah sijil pencapaian dan anugerah sijil penyertaan disampaikan di dalam kelas pada 31 Mac 2022. Seterusnya, penghargaan untuk para pegawai, jurulatih, pengurus kokurikulum dan sukan, pengerusi setiap unit beruniform/kelab persatuan/sukan permainan serta Jawatankuasa Induk Kokurikulum 2021 disampaikan pada 9 April 2022 (Sabtu) bertempat di Dewan Paya Indah Wetland.

Pada akhir Penyampaian Majlis Anugerah Gemilang Kokurikulum ini, diharapkan peserta-peserta akan dapat:

1.1 Menanamkan semangat bekerjasama antara satu sama lain.

1.2 Meningkatkan semangat dan daya saing yang sihat dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum.

1.3 Memupuk semangat kerjasama, sifat berani dan sabar serta sikap tolong-menolong dan bertolak-ansur antara satu sama lain.

1.4 Menggalakkan penyertaan murid dan guru dalam kegiatan kokurikulum dan sukan sehingga ke peringkat yang tertinggi.

1.5 Wujud penyelarasan dan penyeragaman penganugerahan kokurikulum dan sukan di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

KPI: 95% murid mempunyai semangat daya saing yang sihat dalam mengejar kejuaraan

Kelemahan Program:

  1. Tidak dapat diraikan mereka yang terlibat dalam satu majlis

Kekuatan Program :

  1. Semua AJK memberikan kerjasama dan menjalankan tugas dengan baik sebelum, semasa dan selepas program ini berlangsung.
  2. Program ini telah membuat semua pegawai, pengurus, jurulatih dan murid-murid terasa dihargai walaupun bukan dalam satu majlis.

Penambahbaikan Program :

  1. Dicadangkan dan diharapkan dapat mengadakan penghargaan ini dalam majlis yang lebih meriah.

Disediakan oleh,

………………………….
(ZALEHA BINTI OMAR)
Naib Setiausaha,
JAWATANKUASA INDUK 2021,
SK Bukit Changgang.

Pin It on Pinterest

Share This