Pada 26 Januari yang lalu, bertempat di Dewan Gemilang SK Bukit Changgang, telah diadakan Kursus Kepimpinan Pengawas bagi tahun 2019. Kursus tersebut adalah kerjasama antara Unit Disiplin dan Pengawas serta Unit Bimbingan Dan Kaunseling. Seramai 88 orang pengawas yang terdiri dari Tahun 3,4,5 dan 6 telah menyertai Kursus ini.
Pengawas Sekolah adalah murid yang terpilih yang diberi tanggungjawab untuk membantu pihak sekolah, terutamanya dalam hal meningkatkan pencapaian disiplin murid-murid ke tahap yang lebih baik. Mereka juga dianggap sebagi mata dan telinga pihak sekolah. Pengawas juga ialah murid-murid sekolah yang memerlukan keyakinan diri untuk bertugas dengan penuh dedikasi dan berketrampilan . Bagi merealisasikannya, mereka memerlukan bimbingan dan panduan.
Untuk mencapai ke tahap keyakinan diri dan kelicinan tugas mereka memerlukan bantuan pihak guru atau pihak sekolah untuk memberi motivasi dan tunjuk ajar kepada mereka. Pihak pengawas juga perlu mengetahui dengan jelas bidang tugas mereka serta mengetahui senario seluruh pelajar itu sendiri. Percambahan fikiran dan minda adalah salah satu cara dapat memantapkan keyakinan terhadap tugas mereka.
Objektif kursus ini adalah agar para pengawas lebih yakin, khususnya apabila bercakap di hadapan khalayak ramai. Memahami tugas yang diamanahkan dan bertindak secara bijak serta menyedari bahawa mereka adalah pemimpin kecil di sekolah.
Kursus ini telah dirasmikan oleh En. Mohamad Ali bin Alimin, Guru Besar SK Bukit Changgang. Beberapa slot telah disusun khas untuk kursus ini. Antaranya ialah Taklimat Tentang Peranan Dan Tanggungjawab Seorang Pemimpin, Bidang Tugas Dan Tanggungjawab Pengawas serta Latihan Dalam Kumpulan yang telah dikendalikan oleh Ustaz Badrul Hisham bin Mohammad.
Para peserta kursus kelihatan teruja dan bersemangat dengan aktiviti yang telah dilaksanakan. Mudah-mudahan pendedahan ini memberi impak yang mendalam terhadap para peserta. Kursus yang bermula 8.00 pagi ini berakhir selepas solat zohor , kira-kira jam 2.00 petang.
Recent Comments