Baru-baru ini SK Bukit Changgang telah menerima kehadiran empat orang guru pelatih daripada IPG Kampus Pendidikan Islam bagi menjalani internship selama sebulan. Pelbagai projek inovasi telah dijalankan oleh mereka sebagai menyempurnakan tugasan internship pada kali ini. Antaranya ialah projek inovasi Smart Teng Teng SKBC yang telah diilhamkan oleh guru pelatih Syed Badriz bin Syed Mazlan.

Projek inovasi Smart Teng-Teng SKBC adalah satu projek yang multi fungsi. Projek ini mempunyai serampang dua mata kerana selain dapat memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan murid, projek ini juga dapat memudahkan guru-guru bagi menyampaikan proses pembelajaran dan pengajaran secara lebih berkesan melalui kaedah permainan. Permainan merupakan saluran yang boleh mengembangkan perkembangan murid-murid ke tahap yang optima. Oleh kerana permainan merupakan sesuatu kekuatan dan pengalaman yang penting menjadi asas dalam model pendidikan awal kanak-kanak.

Menurut Buku Panduan Guru (Pusat Perkembangan Kurikulum), belajar melalui bermain adalah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang bebas dan selamat, menggembirakan dan bermakna. Antara kelebihan Smart Teng Teng adalah ia mempunyai nilai universal dimana ia boleh digunakan untuk pelbagai subjek seperti Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik dan Pendidikan Jasmani dalam mengajar arah atau nombor.

Akhir kata, melalui kaedah bermain murid bukan sahaja mampu mencapai objektif PdP dengan mudah, namun ia juga mampu menyihatkan badan. Kaedah bermain sudah tidak asing lagi dan dianggap sebagai sebuah kaedah yang sangat efektif berikutan kanak-kanak memang gemar bermain. Kaedah permainan bukan sahaja mampu memupuk minat murid bahkan mampu meningkatkan kesihatan dalam kalangan murid di sekolah.

Pin It on Pinterest

Share This