Semasa menjalani Internship selama sebulan di SK Bukit Changgang, guru pelatih daripada IPG Kampus Pendidikan Islam iaitu Abu Zar Bin Huzaifah telah membina sebuah multimedia interaktif sirah untuk menarik minat murid untuk proaktif dalam sesi PdP. Multimedia Interaktif Sirah ini diberi nama Tan-Ken yang merupakan suatu bahan multimedia interaktif yang dihasilkan khusus untuk proses pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah ataupun di luar bilik darjah. Melalui inovasi yang dihasilkan ini, ia bertujuan untuk membantu pembelajaran yang berkesan kepada murid di samping membantu guru Pendidikan Islam dalam menyampaikan pengajaran di bilik darjah. Murid boleh menjalani proses pembelajaran dengan menarik sekali sama ada melalui pembacaan teks, pendengaran audio ataupun dengan menonton video peristiwa sirah di samping dapat membuat penilain secara langsung menerusi latihan pengukuhan dan kuiz yang disediakan selepas menjalani proses belajar. Murid dan guru hanya memerlukan peranti elektronik untuk menggunakan bahan inovasi ini seperti projector, telefon pintar, komputer dan lain-lain lagi. Projek inovasi kami dihasilkan menggunakan perisian Adobe Flash Profesional dan Microsoft PowerPoint.
Di dalam bahan inovasi ini turut dimuatkan beberapa video dan audio pada setiap perkataan dan gambar yang disediakan sebagai inisiatif membantu murid yang tidak pandai membaca tulisan jawi bagi memastikan semua murid dapat mengalami pengalaman belajar. Projek inovasi ini dijalankan adalah bertujuan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran guru bagi mata pelajaran Pendidikan Islam bidang Sirah. Ia juga bertujuan untuk membentuk suasana belajar yang kondusif dan berkesan dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di dalam bilik darjah di samping menerapkan budaya pembelajaran abad ke 21 di sekolah.
Tambahan pula, ia juga dilaksanakan dengan harapan dapat membentuk pemikiran murid yang kreatif dan inovatif serta membantu imaginasi positif dalam diri murid di sekolah. Bahkan, ia juga turut berfungsi sebagai pemudah cara kepada guru di sekolah untuk dijadikan sebagai bahan bantu mengajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Selain itu, inovasi ini juga boleh dimanfaatkan oleh murid-murid di semua sekolah rendah bagi merangsang minda untuk memahami Sirah dengan baik dan berkesan, seterusnya meningkatkan pencapaian murid dalam peperiksaan.
Recent Comments