Program Minggu Bahasa ialah salah satu aktiviti utama Persatuan Bahasa Melayu yang diadakan pada setiap tahun. Pelbagai aktiviti telah dirancang khusus untuk murid-murid mengikut tahap masing-masing. Penganjuran minggu bahasa pada kali ini mempunyai objektif yang mampu menjana minda murid dan melahirkan murid yang mempunyai keterampilan bahasa yang baik. Selain itu, aktiviti ini juga bertujuan mencungkil bakat peserta untuk Pertandingan Bercerita dan Berpidato, bagi mewakili sekolah di peringkat daerah kelak.

Sehubungan itu, Persatuan Bahasa Melayu telah merangka aktiviti yang melibatkan penguasaan, pengayaan bahasa dan kreativiti persembahan murid. Setiap guru Bahasa Melayu akan menyediakan peserta bagi setiap aktiviti yang dipertandingkan. Program ini telah berjalan dengan baik dan lancar dengan kerjasama guru-guru yang terlibat.

Berikut merupakan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang Minggu Bahasa Melayu tersebut berlangsung.

Tahun 1 – Mengeja Perkataan (3 Julai 2019)

Tahun 2 – Bercerita (5 Julai 2019)

Tahun 3 – Melafazkan Pantun (4 Julai 2019)

Tahun 4 – Bercerita (4 Julai 2019)

Tahun 5 – Berpidato (5 Julai 2019)


Para peserta pertandingan bagi setiap acara, disertai oleh dua orang murid mewakili setiap kelas. Mereka dipilih oleh guru Bahasa Melayu yang mengajar kelas tersebut. Disebabkan penyertaan yang terhad, tetapi ramai yang ingin bertanding, maka ada di antaranya yang terpaksa dibuat saringan, untuk mencari peserta yang –benar-benar layak untuk bertanding.

Pertandingan tersebut telah dapat dilaksanakan dengan jayanya, hasil kerjasama daripada semua guru Bahasa Melayu dan mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada semua murid. Setiap aktiviti telah dijalankan di Dewan Gemilang SK Bukit Changgang.

Murid-murid yang tidak menjadi peserta turut memeriahkan aktiviti dengan menjadi penonton. Murid-murid dapat menyaksikan persembahan daripada rakan-rakan yang berbakat serta berani untuk tampil ke pentas pertandingan. Para juri pertandingan pula dilantik di kalangan guru-guru Bahasa Melayu yang berkaliber.

Penyampaian hadiah kepada para peserta dan pemenang dilakukan sejurus selesai pertandingan dijalankan. Johan, naib johan dan tempat ketiga telah menerima hadiah berupa piala manakala pemenang saguhati menerima plak. Diharapkan dengan hadiah tersebut dapat menaikkan lagi semangat para peserta serta murid-murid yang lain untuk terus menyertai sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Semoga bakat kecil yang berjaya dicungkil ini dapat terus digilap menjadi permata berharga buat SKBC untuk ke peringkat yang lebih tinggi. InsyaAllah.

Pin It on Pinterest

Share This