Kemenangan bergaya SK Bukit Changgang
Sijangkang,Selangor ,21 Ogos 2019- ‘Tiada kemenangan tanpa usaha’.Keletihan pelajar perempuan SK Bukit Changgang bersama-sama jurulatih, Encik Zailan bin Mohd Zaid dan Encik Mohd Nakhoie bin Ahmad Badawi melalui latihan yang diadakan pada setiap hari dengan persiapan selama sebulan berbaloi apabila ditabalkan menjadi juara bagi kejohanan bola tampar bawah 10 tahun (perempuan) peringkat daerah Kuala Langat 2019.
Pertandingan yang berlangsung di SK Sijangkang Jaya menjadi saksi kehebatan 9 orang pelajar perempuan melakar sejarah berganda apabila menjadi juara dua tahun berturut –turut bagi kategori yang sama. Menurut peserta termuda pertandingan yang menjadi wakil sekolah adik Nursofea Adriana binti Mohd Suhaimi, persediaan dan latihan intensif yang diberikan oleh jurulatih selama sebulan dan sokongan dari guru-guru,ibubapa dan rakan-rakan ketika kejohanan berlangsung memberi suntikan semangat untuk mereka meraih kemenangan.
Dalam kejohanan yang berlangsung selama sehari tersebut, wakil SK Bukit Changgang telah menewaskan SK Morib dalam tempoh satu jam dalam 3 set permainan yang getir dengan kiraan markah sebanyak 15-11, tewas set kedua dengan kiraan 9-15, sebelum menang semula set terakhir dengan kiraan 15-14.Pada peringkat akhir, SK Bukit Changgang telah bertemu di gelanggang dengan SK Seri Cheeding dan menang dengan 2 set sahaja dalam tempoh kurang 40 minit.
Cik Roslizawati selaku pengurus pasukan SK Bukit Changgang yang ditemui ketika kejohanan berkata “saya berbangga dengan kerja keras dan tidak kenal putus asa para pemain yang berhempas pulas di gelanggang mencari kemenangan , mereka tidak menerima apa-apa habuan wang ringgit tetapi berhempas pulas untuk mengharumkan nama sekolah ” .Beban yang digalas selaku juara bertahan dari tahun 2018 memberi impak yang besar kepada pelajar untuk mencipta kemenangan yang sama pada tahun ini.Semoga SK Bukit Changgang dapat melahirkan lebih ramai jaguh yang mempunyai semangat kesukanan yang tinggi dan berpotensi untuk diangkat ke peringkat yang lebih baik.2 orang peserta iaitu adik Raudhatul Jannah binti Muhamad Azli dan adik Norhamdania binti Hamdan telah dipilih untuk mewakili daerah Kuala Langat bagi pertandingan diperingkat negeri dan kini sedang giat menjalani latihan di bawah seliaan jurulatih Encik Mohd Nakhoie bin Ahmad Badawi.
Recent Comments