‘Seni mekar di hati’ merupakan tema Pameran Kesenian 2019 yang telah berlangsung dengan meriahnya pada 7 hingga 11 Oktober yang lalu. Pameran yang julung-julung kali diadakan ini adalah anjuran bersama Panitia Seni dan Panitia Muzik SK Bukit Changgang. Pameran ini telah dirasmikan oleh Guru Besar SK Bukit Changgang sendiri iaitu En. Mohamad Ali Bin Alimin.

Pameran ini merupakan salah satu aktiviti yang terdapat dalam sukatan pelajaran Pendidikan Kesenian, yang bertujuan untuk melatih murid untuk membuat apresiasi terhadap karya sendiri dan karya rakan. Di samping itu, pameran ini juga untuk menghargai hasil karya pelajar dan juga melatih murid supaya berani untuk meluahkan perasaan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui seni mahu pun muzik.

Pelbagai hasil karya murid dari tahun 1 sehingga tahun 6 telah dipamerkan di Dewan Seri Gemilang, SK Bukit Changgang, mengikut 4 bidang seni iaitu menggambar, membuat rekaan dan corak, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Selain itu, pelbagai jenis alat muzik juga dipamerkan untuk memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat dan merasai sendiri pengalaman memainkan alat muzik tersebut.

Selain daripada pameran, pelbagai aktiviti lain juga telah dijalankan iaitu pertandingan swafoto berkumpulan guru bersama murid yang berlatarbelakangkan pameran, cabutan bertuah, persembahan Muzik oleh murid –murid Tahap 1 dan aktiviti membuat sendiri penanda buku.

Namun, acara yang paling mengujakan ialah persembahan tarian asli daripada jemputan khas iaitu kumpulan tarian daripada SK Bukit Kemandol (A). Rata-rata warga SKBC begitu teruja kerana berpeluang menyaksikan secara langsung tarian tersebut dengan lebih dekat. Kumpulan tarian tersebut pernah memenangi beberapa pertandingan Tarian Asli yang telah diadakan sebelum ini. Mereka juga aktif membuat persembahan dalam majlis-majlis yang dijemput.

Keunikan warna-warni pakaian dan peralatan yang digunakan untuk persembahan begitu memukau pandangan sesiapa yang melihat. Apatah lagi apabila dijelaskan oleh Cikgu Rosilah binti Jaafar, guru tarian SK Bukit Kemandol, bahawa bahan yang digunakan adalah daripada tumbuh-tumbuhan seperti tempurung kelapa, daun nipah dan daun mengkuang yang direbus, diwarna, dicelur, dianyam dan digubah sehingga menjadi sebegitu menarik.

Yang lebih menarik lagi ialah demonstrasi origami daripada daun kelapa oleh penduduk asli Bukit Kemandol. Murid-murid dan guru malahan warga sekolah juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba membuat sendiri origami tersebut dengan tunjuk ajar oleh ‘Mak Kedap’.

Kerjasama erat yang diberikan guru-guru pendidikan seni dan muzik telah dapat menjayakan pameran ini. Apa pun pandangan dan cadangan yang diberikan, diterima untuk meningkatkan mutu persembahan pada masa akan datang. Sambutan hangat dan penglibatan warga sekolah juga membangkitkan semangat untuk meneruskan pameran ini pada tahun hadapan.

Jawatankuasa penganjur juga berterima kasih kepada pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang kerana menyokong penuh pelaksanaan pameran ini. Hal ini penting bagi memberi peluang kepada warga SKBC terutamanya murid-murid dalam meneroka pengalaman baru melalui pameran ini. Semoga dengan penganjuran ini akan dapat meningkatkan minat dan kreativiti dalam kalangan murid seterusnya dapat mencungkil bakat-bakat terpendam dalam kalangan murid.

Pin It on Pinterest

Share This