Unit Tahun 6 SK Bukit Changgang telah mengadakan lawatan ke Legoland, Johor Bahru pada 2 November 2019 yang lalu. Lawatan ini telah disertai oleh 40 orang murid dan diiringi oleh 4 orang guru.
Legoland menjadi destinasi pilihan kerana ianya adalah salah satu taman tema yang digemari oleh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi ianya bersesuaian dengan tahap umur murid sekolah rendah. Tahun ini adalah kali kedua SK Bukit Changgang pergi ke Legoland. Pihak Legoland juga telah memberikan tawaran yang lebih baik pada tahun sebelum ini, dimana 8 tiket guru telah diberikan atas kuota 40 orang murid. Tahun ini juga kami berpeluang untuk memasuki dua tempat yang berbeza iaitu Taman Tema Legoland dan juga ‘ Sea Life Legoland’ yang baru dibuka pada tahun ini. Semua murid gembira sepanjang berada disana dan dapat melakukan banyak aktiviti yang menarik dan mencabar dari segi fizikal dan mental. Sesi bengkel yang diperuntukkan kepada kami juga telah membuka minda dan mata semua murid berkaitan keindahan Sains dan Teknologi dalam sesi pembelajaran. Ianya selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang inginkan murid-murid di negara didedahkan dengan sistem ‘Coding’ melalui mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Lawatan ini juga salah satu cara mendedahkan murid-murid SK Bukit Changgang bahawa ilmu itu bukan sekadar belajar secara formal di dalam kelas, tetapi ianya boleh juga dipelajari melalui aktiviti didik hibur dan juga amali di luar bilik darjah. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada tahun yang akan datang untuk memberikan lebih pendedahan secara tidak langsung kepada murid-murid SK Bukit Changgang. Benarlah kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. Semoga apa yang telah dilakukan ini sentiasa diberkati oleh Allah dan membantu untuk kemenjadian murid-murid ini pada masa akan datang.
Terima kasih Legoland Malaysia !
Recent Comments