Guru Besar menerima sumbangan cendermata daripada En. Khairil

Kumpulan koir membuat persembahan sempena program galakan membaca

Murid-murid teruja untuk bergambar bersama maskot Blink

En. Khairil memberi hadiah kepada murid yang berjaya menjawab soalan kuiz dengan betul

Gimik Perasmian Program Galakan Membaca

Pada 21 Februari 2020 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1441H, telah diadakan Majlis Pelancaran Program Galakan Membaca peringkat sekolah. Terdapat 4 program telah dirangkumkan dalam pelancaran tersebut iaitu Program Nilam, Program Hari Nilam 1 Selangor (HaN1S), Dekad Membaca Kebangsaan dan Program Google Classroom.

Majlis ini telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Tn. Hj. Ridzuan bin Mohamed.

Majlis yang dirancang ini adalah usaha secara kolaboratif antara Pusat Sumber Sekolah (PSS) dengan Panitia Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains bagi merealisasikan hasrat KPM dalam melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berterusan. Selain itu, program ini bertujuan untuk membudayakan sikap rajin membaca dalam kalangan murid di samping meningkatkan kemahiran berbahasa serta menggunakan PSS sebagai wahana ilmu yang berkesan. Oleh itu, Program Galakan Membaca ini dirancang untuk dijalankan sepanjang tahun.

Ucapan perasmian Majlis Pelancaran Program Galakan Membaca ini telah disampaikan oleh Tuan Guru Besar SKBC En. Mohamad Ali bin Alimin. Dalam ucapan perasmian beliau menegaskan “bahawa murid perlu menjadikan budaya membaca sebagai hobi dalam meningkatkan kecemerlangan dalam apa jua bidang khususnya akademik. Guru-guru perlu memberikan galakan kepada murid untuk membaca dan menjadikan sikap suka membaca sebagai amalan bagi menjana idea yang kreatif dan inovatif”. Dalam erti kata lain, membaca dapat meningkatkan maklumat dan bakal meningkatkan taraf hidup murid serta bakal menjadi aset negara yang tidak ternilai. Beliau juga menyarankan agar murid dan guru berkunjung ke perpustakaan untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Sebagai gimik perasmian majlis ini , ketukan tukul pada “Dragon Ball” oleh Guru Besar SKBC bersama maskot Blink Trading Sdn. Bhd. telah dibuat.

Tuan Guru Besar juga telah mengumumkan hadiah menarik yang bakal dimenangi dalam program NILAM 2020 bagi guru-guru dan kelas-kelas yang mengadakan sudut NILAM di meja atau kelas masing-masing. Seterusnya diadakan juga slot bersama penulis Blink iaitu En. Khairil Kamarudin. Beliau telah menyerahkan buku sumbangan Blink Trading Sdn. Bhd. kepada Tuan Guru Besar. Majlis ini diakhiri dengan nyanyian lagu NILAM yang diketuai oleh kumpulan koir daripada murid-murid Tahun 5 Iltizam.

Majlis ini adalah titik permulaan kepada pemupukan budaya membaca dalam kalangan murid. Semoga aktiviti yang akan diadakan seperti pertandingan bercerita Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, kuiz PSS, Spelling Bee, pertandingan reka cipta,hafazan dan lain-lain dapat memberi kesedaran kepada murid tentang kepentingan membaca serta melahirkan murid yang berketerampilan serta berdaya saing dalam menimba ilmu.

Pin It on Pinterest

Share This