Pemeriksaan Kesihatan telah dilakukan oleh PKD Banting di SK Bukit Changgang pada 10 hingga 12 Ogos 2020 melibatkan 229 orang murid tahun 1. Sepasukan petugas kesihatan terdiri daripada seorang pegawai kesihatan dan empat orang jururawat. Ini melibatkan pemberian imunisasi mencegah penyakit demam campak (Measles), Rubella, Difteria dan kancing gigi (Tetanus). Pemeriksaan tersebut dilakukan di Dewan Gemilang SK Bukit Changgang yang diselaraskan oleh guru kesihatan, Pn. Siti Norbaizura binti Abdul Malik.

Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa orang murid belum mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan suntikan imunisasi yang diberikan secara percuma di setiap sekolah kerajaan kerana ketidakhadiran ke sekolah. Oleh itu, tindakan susulan akan dibuat oleh pihak PKD Banting untuk memastikan suntikan ini dapat diperolehi oleh setiap murid.

Dalam keadaan di mana Malaysia sedang dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19, ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya diseru untuk bersama-sama KKM dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencegah penyakit berjangkit. Sokongan berterusan bagi program imunisasi daripada semua pihak adalah sangat penting demi melindungi kesihatan dan masa depan murid sekolah kerana mereka adalah aset negara.

Pin It on Pinterest

Share This