Pada 6 hingga 8 April 2021 yang lalu, Unit Pengawas dengan kerjasama Unit Disiplin SKBC telah mengadakan Kursus Kepimpinan Pengawas bertempat di Bilik Gerakan SKBC.
Pelaksanaan kursus kali ini berlainan daripada tahun-tahun sebelum ini kerana diadakan selama tiga hari berturut-turut. Kursus ini dijalankan pada hari persekolahan iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Pada 6 April kursus dijalankan untuk Tahun 4 (sesi pagi) dan Tahun 3 (sesi petang). Manakala pada 7 April, untuk Tahun 5 dan 8 April untuk Tahun 6. Hal ini kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan iaitu penjarakan fizikal antara murid perlu dijaga. Oleh itu, dengan penggiliran penggunaan tempat tersebut, maka penjarakan fizikal dapat dipatuhi.
Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberikan bimbingan dan panduan kepada para pengawas sekolah dalam melaksanakan tugas mereka. Antara pengisian kursus ini ialah ‘Motivasi Diri’ oleh Ustaz Badrul Hisham bin Mohamad, Guru Bimbingan dan Kaunseling SKBC, penerangan tentang ‘Peranan dan Tanggungjawab Pemimpin’ pula disampaikan oleh Guru Disiplin dan ‘Bidang Tugas Pengawas’ disampaikan oleh guru-guru pengawas.
Selepas tamat sesi kursus setiap hari, acara penyampaian sijil pula dilangsungkan. Peserta kursus diberikan sijil penyertaan kursus dan Watikah Pelantikan Pengawas bagi sesi 2021. Ketua Pengawas telah diumumkan dalam majlis ini iaitu adik Muhammad Afif bin Mohd. Zaidi. Manakala Penolong Ketua Pengawas pula ialah adik Nurul Hannan binti Mohd. Sani. Begitu juga dengan jawatan bagi AJK yang lain.
Diharapkan program ini dapat meningkatkan tahap keyakinan diri dan kelicinan tugas para pengawas sekolah. Semoga mereka dapat mengetahui dengan jelas bidang tugas mereka serta tanggungjawab untuk membantu pihak sekolah, terutamanya dalam hal meningkatkan pencapaian disiplin murid-murid ke tahap yang lebih baik. InsyaAllah.
Laporan disediakan oleh Puan Norizan binti Zakaria.
Recent Comments