Pada 29 September 2022, Unit Tahun 3 Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang telah mengadakan lawatan ke Farm In The City dan Kilang Coklat Beryl’s di Seri Kembangan. Seramai 80 orang murid Tahun 3 bersama 8 orang guru pengiring telah mengikuti lawatan sambil belajar tersebut. Objektif lawatan ini adalah bertujuan untuk memberi pengalaman kepada murid-murid melalui aktiviti-aktiviti yang dilakukan di sepanjang lokasi lawatan, memberi peluang kepada murid untuk menggabungjalin pengetahuan yang diperoleh di kelas dengan pengalaman di luar kelas, merapatkan hubungan silaturahim antara guru dan murid serta memupuk semangat perpaduan antara kaum.
Tempat pertama yang kami lawati ialah Kilang Coklat Beryl’s di Seri Kembangan, Serdang. Kedatangan kami disambut mesra oleh kakitangan Beryl’s. Kami diberi penerangan tentang cara membuat coklat dari mula hingga akhir dan cara pembungkusannya. Kami juga berpeluang melihat sendiri proses tersebut dijalankan. Kemudian murid-murid di bawa ke mini muzium kilang. Pelbagai sejarah mengenai penemuan dan pembuatan coklat dari dahalu hingga kini dipamerkan. Akhir sekali kami berpeluang membeli pelbagai jenis coklat dengan harga yang agak murah di sini.
Destinasi kedua lawatan kami ialah ke Farm In The City, Seri Kembangan. Antara aktiviti yang menarik di sini ialah murid diberi peluang melihat pelbagai jenis haiwan. Murid juga dibenarkan menyentuh dan memberi makanan kepada haiwan-haiwan yang jinak dan tidak berbahaya seperti rusa, kura-kura, ikan, kambing dan arnab. Di sini murid berpeluang mengenali dengan lebih dekat mengenai habitat dan cara haiwan-haiwan itu hidup. Setelah selesai lawatan murid diberi sijil penghargaan dan tiket percuma.
Sebelum pulang kami makan tengah hari di kedai yang telah disediakan oleh pihak pengurusan. Keseluruhan aktiviti lawatan ini telah mencapai objektifnya. Murid-murid mendapat pengalaman sebenar dan pengetahuan yang sangat berguna.

Pin It on Pinterest

Share This