Pada setiap tahun, 16 Mei dipilih sebagai tarikh sambutan Hari Guru bagi menzahirkan ucapan terima kasih kepada golongan pendidik yang telah bertungkus-lumus mendidik anak bangsa. Begitu juga dengan sambutan yang diadakan di SK Bukit Changgang pada 16 Mei 2022. Majlis bermula pada jam 7.30 pagi didahului dengan nyanyian tiga rangkaian lagu iaitu lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor dan lagu sekolah.

Bacaan doa telah dibacakan oleh Tuan Haji Ridzuan bin Mohamed.
Cikgu Fitri Aziz selaku Pengacara Majlis berjaya mengendalikan majlis dengan jayanya.
Tuan Guru Besar, Encik Mohamad Ali bin Alimin dalam ucapannya menyentuh tentang besarnya jasa dan pengorbanan guru yang mencurah ilmu dan menabur bakti kepada anak bangsa. Hal ini amat bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini, “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera”. Sesungguhnya, asas kemenjadian generasi masa hadapan terletak di bahu insan bergelar guru. Guru bukan sekadar menabur ilmu di dalam kelas malah telah menjadikan persekitaran sekolah sebagai tempat untuk  memenuhi aspirasi pendidikan.

Majlis diteruskan dengan ucapan Yang Dipertua PIBG, Tuan Haji Bahaman bin Haji Amat Jiman. Beliau mengingatkan murid-murid agar sentiasa menghormati dan menghargai guru-guru. Beliau meminta semua murid untuk melaungkan ungkapan “ Terima, Kasih Cikgu”.

Perutusan Menteri Pendidikan dibacakan oleh Cikgu Muhamad Hamizan.
Cikgu Muhammad Khairul Hanan ditugaskan membaca perutusan Ketua Pengarah Pelajaran.

Gimik Sambutan Hari Guru dan Hari Pekerja telah disempurnakan oleh Tuan Haji Bahaman. Nyanyian beberapa rangkaian lagu oleh guru-guru iaitu Guru Malaysia dan lagu tema hari guru memeriahkan lagi sambutan hari guru pada tahun ini.

Semoga sambutan Hari Guru ini dapat menyuntik semangat para guru untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dan menyemai rasa kasih sayang serta menghargai jasa guru dalam kalangan murid.

Pin It on Pinterest

Share This