Pemeriksaan kesihatan dan suntikan telah dilaksanakan oleh PKD Banting kepada semua murid pra sekolah, tahun satu dan tahun enam pada 1 dan 2 November 2022. Sebelum pemeriksaan dan suntikan, setiap guru kelas diarahkan mengemaskini buku kesihatan dan borang kesihatan setiap murid dan dihantar sebelum hari pemeriksaan kepada guru kesihatan iaitu Cikgu Siti Norbaizura. Borang kebenaran suntikan untuk murid tahun satu yang telah diisi secara atas talian semasa pendaftaran murid juga telah dikumpulkan. Guru kesihatan telah memainkan peranan dalam perkara ini.

Pada hari tersebut, jururawat telah memulakan pemeriksaan pada pukul 10.00 pagi bagi murid sesi pagi (tahun enam dan sebahagian murid pra sekolah) dan diteruskan pula pada pukul 1.30 petang untuk sesi petang (tahun satu dan sebahagian murid pra sekolah). Murid bagi setiap kelas dihantar ke Dewan Gemilang SK Bukit Changgang bagi pemeriksaan kesihatan dan suntikan. Manakala, pemeriksaan kesihatan untuk murid pra sekolah telah dijalankan di kelas masing-masing. Jururawat bertugas telah mengemaskini buku kesihatan tahun enam dan telah diserahkan kepada guru kesihatan untuk dikembalikan kepada guru kelas tahun enam. Jururawat juga telah menyampaikan ceramah mengenai penjagaan kesihatan diri dan wajah kepada murid tahun enam. Berikut merupakan jenis pemeriksaan yang telah dilakukan kepada murid tahun enam:


JADUAL PEMERIKSAAN KESIHATAN MURID TAHUN 6
Pemeriksaan Kesihatan sebab diperlukan
Pemeriksaan tinggi dan berat – Menentukan status pemakanan murid sama ada mempunyai berat badan unggul, berisiko berat badan atau obes.
Pemeriksaan mata – Mengesan masalah rabun yang belum dikenal pasti dan peningkatan rabun di kalangan murid yang memakai cermin mata.
Saringan rabun warna Dijalankan ke atas murid lelaki oleh sebab berlaku di kalangan murid lelaki sahaja.
Mengesan masalah rabun warna ‘color defect’ yang boleh mempengaruhi pilihan kerjaya murid.
Pemeriksaan tulang rangka – Mengesan masalah skoliosis di peringkat awal. Kes-kes yang disyaki akan dirujuk ke hospital untuk pengesahan dan intervensi awal.
Pemeriksaan kebersihan diri – Mengesan jangkitan kutu kepala, kudis buta, masalah kulit untuk diberi rawatan.

Di samping itu, jururawat juga telah menyampaikan ceramah penjagaan kesihatan diri untuk murid-murid tahun satu sebelum pemeriksaan kesihatan dan suntikan dilakukan. Pihak sekolah juga memastikan agar jururawat mendapat kerjasama yang padu daripada guru-guru kelas dan guru mata pelajaran. Guru kesihatan memastikan semua murid diperiksa dengan mengikut urutan bagi memastikan segala urusan berjalan lancar. Pemeriksaan yang dilakukan kepada murid tahun satu adalah seperti dalam jadual di bawah:


JADUAL PEMERIKSAAN KESIHATAN MURID TAHUN 1
Pemeriksaan Kesihatan Sebab diperlukan
Pemeriksaan tinggi dan berat – Menentukan status pemakanan murid
Pemeriksaan mata Mengesan masalah rabun, mata malas yang boleh mengganggu pencapaian akademik.
Saringan pendengaran- Mengesan masalah pendengaran minimum dan sederhana yang boleh menghalang pencapaian akademik.
Pemeriksaan jantung dan paru-paru – Mengesan masalah penyakit jantung kongenital yang tidak dikenal pasti semasa bayi. Kes-kes yang dikenal pasti akan dirujuk untuk pengesahan.
Pemeriksaan tulang rangka – Mengesan kecacatan tulang rangka yang tidak dikesan semasa bayi.
Pemeriksaan kebersihan diri – Mengesan jangkitan kutu kepala, kudis buta, masalah kulit untuk diberi rawatan.
Pemeriksaan testis – Mengesan masalah seperti ‘hydrocele’ dan ‘undescended testis’ di kalangan murid lelaki.
Pengesanan masalah pembelajaran – Menerima rujukan kes daripada guru-guru yang melaporkan murid mempunyai masalah dalam kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Murid-murid ini seterusnya akan dirujuk kepada pakar untuk mendapat pengesahan masalah dan penempatan pembelajaran yang sesuai dengan kemampuan murid.

Setelah selesai pemeriksaan kesihatan dan suntikan. Murid-murid yang telah dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan telah diberi surat rujukan untuk ke klinik atau hospital yang berdekatan. Bagi murid tahun satu yang didapati tidak mendapat suntikan kerana tiada kebenaran ibu bapa atau anak tidak hadir ke sekolah pada masa lawatan pasukan kesihatan ke sekolah, ibu bapa perlu membawa anak mereka ke Klinik Teluk Datuk pada tarikh yang telah dimaklumkan. Bagi ibubapa yang tidak membenarkan suntikan dilakukan kepada anak mereka, mereka perlu mengisi borang tunjuk sebab yang telah disediakan oleh pihak kesihatan. Secara keseluruhannya, segala pemeriksaan kesihatan dan suntikan telah mendapat kerjasama yang padu daripada semua pihak dan berjalan dengan lancar dalam waktu yang ditetapkan.

Laporan disediakan oleh Puan Siti Norbaizura binti Abdul Malik

Pin It on Pinterest

Share This