Kemahiran kerja berpasukan digalakkan supaya sesuatu kerja yang berat akan menjadi ringan. Banyak kerja berpasukan perlu diterokai untuk melahirkan insan yang saling membantu antara satu sama lain. Menyedari hal ini ahli Jawatankuasa Latihan Dalam Perkhidmatan dengan kerjasama Unit Kaunseling SK Bukit Changgang mengadakan program TEAM BUILDING sebagai memenuhi tuntutan kerja berpasukan serta latihan personel guru-guru.

Program ini diadakan pada 13 Ogos 2022 bertempat di Pusat Kokurikulum Negeri Selangor, Kem Tekali, Hulu Langat. Penyertaan seramai 80 peserta merangkumi guru dan semua kakitangan Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang.

Program bermula seawal jam 5.30 pagi apabila semua peserta berkumpul di sekolah dan menunaikan solat subuh berjemaah. Seusai solat, peserta menaiki 2 buah bas yang telah disediakan oleh penganjur. Lebih kurang jam 6.40 pagi, 2 buah bas membawa peserta bertolak menuju ke destinasi.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1jam, peserta selamat sampai lebih kurang jam 7.45 pagi. Peserta membawa beg masing-masing untuk berkumpul di dataran Pusat Ko-kurikulum Sungai Tekali.

Selepas bersarapan, peserta berkumpul untuk taklimat oleh pihak jurulatih pusat ko kurikulum berkenaan aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program hari ini. Peserta dibahagikan kepada 8 kumpulan yang diketuai oleh pentadbir dan guru-guru berpengalaman. Sedikit ice breaking diberi oleh jurulatih.

Aktiviti pertama dinamakan ‘Merunut Bukit’. Peserta di bawa menaiki jalan berbukit yang punyai pelbagai cabaran. Oleh kerana malamnya hujan melanda trek agak lembab. Jurulatih membawa trek yang tidak terlalu sukar untuk dirunut.

Aktiviti ini memperlihatkan alam ciptaan Allah yang maha agong. Sepanjang perjalanan kami melihat pelbagai tumbuhan, anak sungai yang mengalir tenang dan matahari yang memancar di sebalik dedaun pokok. Aktiviti ini membentuk kerjasama sesama ahli kumpulan. Semangat saling bantu membantu kelihatan jelas sepanjang perjalanan mendaki dan menuruni bukit.

Aktiviti kedua dinamakan ‘Ikhtiar Hidup’. Peserta dalam kumpulan diberikan buluh, beras, ikan, ayam, garam, cili, daun kesum dan sebiji buah. Peserta dikehendaki memasak ayam dan ikan menggunakan buluh. Aktiviti ini menguji kerjasama, kesabaran serta kreativiti sesama ahli kumpulan. Sesungguhnya tanpa bahan yang banyak pun masih boleh menyediakan hasil masakan yang sedap dan menarik.

Selepas selesai makan tengah hari semua peserta dibenarkan untuk berehat, solat dan menguruskan diri sebelum memulakan aktiviti yang seterusnya.


Pada jam 2.30 petang, kami berkumpul kembali untuk meneruskan aktiviti yang seterusnya. Aktiviti kali ini dinamakan ‘Dinamika Games’.

Permainan kai ini dibahagikan kepada 3 aktiviti iaitu membentuk bulatan, memenuhkan air ke dalam tiang bocor dan belon kasih sayang. Semua aktiviti kali ini menguji akal peserta untuk menjayakan setiap permainan kumpulan masing-masing. Ianya juga memupuk kerjasama yang sihat sesama kumpulan.

Aktiviti yang ditunggu-tunggu ialah ‘Water Confident’ . Aktiviti kali ini dijalankan di kolam renang. Semua peserta dikehendaki turun ke dalam kolam sebagai membentuk keyakinan diri di dalam air. Jurulatih menunjuk cara-cara mengapungkan badan serta berenang dengan betul. Jurulatih juga menunjukkan cara untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku kecemasan sewaktu berada di kawasan berair.

Jam 5 petang, acara penutup diadakan. Penyampaian cenderahati juga turut disampaikan kepada semua peserta. Guru besar mewakili semua guru mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada jurulatih yang sudi memberi tunjuk ajar sepanjang program hari ini. Sesungguhnya program hari ini telah mencapai objektifnya iaitu memupuk semangat berpasukan dan kerjasama sesama ahli. Diharapkan pengalaman yang dikutip sepanjang program ini dapat merapatkan lagi silaturrahim antara warga SK Bukit Changgang.

Laporan disediakan oleh Puan Zamilah binti Mad Yasin

Pin It on Pinterest

Share This